
Gandingan Koo-Tan kandas di pusingan kedua Terbuka China, semalam.
SKUAD badminton negara menerima tamparan hebat apabila beregu harapan negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong tewas mengejut kepada pasangan bukan pilihan dari Rusia, Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov pada pusingan kedua Terbuka China 2013 di Jimnasium Yuen Sheng, Pudong di Shanghai, semalam.
Pasangan negara yang merupakan pilihan kelima kejohanan dan dijangka mudah melangkah ke peringkat seterusnya tewas 18-21 dan 18-21 dalam tempoh 37 minit sekali gus menimbulkan tanda tanya prestasi pemain negara ketika ini.
Di sebalik kejutan tersebut, kem negara kembali ceria apabila satu lagi wakil beregu negara, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong terus mencipta kejutan apabila melangkah ke suku akhir menewaskan beregu dari Korea Selatan, Ko Sung Hyun dan Shin Baek Choel 17-21,21-17 dan 21-18.
Kemenangan tersebut meneruskan aksi cemerlang pasangan nombor 12 dunia itu selepas melakar kejutan pada pusingan pertama dengan mengalahkan pasangan ketiga dunia dari Denmark, Mathias Boe dan Carsten Mogensen 25-23 dan 21-5.
Dalam aksi perseorangan pula, pemain muda perseorangan negara, Chong Wei Feng turut beraksi cemerlang ke suku akhir menewaskan Tien Houwei dari China 14-21,21-13 dan 21-16 dalam tempoh 74 minit.
Kemenangan Wei Feng sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada perseorangan kedua negara itu menghadapi Sukan Sea di Myanmar bulan depan selepas menewaskan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk 21-12 dan 21-10 pada pusingan pertama.
Seorang lagi perseorangan negara, Liew Daren turut melangkah ke peringkat seterusnya setelah berhempas pulas dalam tiga set sebelum menang ke atas Takuma Ueda dari Jepun 14-21,21-17 dan 24-22 dalam tempoh 82 minit.
Daren sebelum itu turut mengejutkan pemain nombor tujuh kejohanan pada pusingan pertama, Jan O Jorgensen dari Denmark 21-17 dan 21-12 dalam tempoh 33 minit.
Turut beraksi cemerlang melangkah ke peringkat seterusnya adalah pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying setelah menewaskan Michael Fuchs dan Birgit Michels 22-20 dan 30-28 dalam tempoh 59 minit.
0 komentar:
Posting Komentar