Rabu, 01 Januari 2014

Waythamoorthy Dakwa Menteri KDN Salah Faham



KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy mendakwa Menteri Dalam Negeri salah faham berhubung kenyataannya mengenai tindakan polis menembak mati lima penjenayah di Pulau Pinang baru-baru ini.

Beliau yang juga pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) berkata, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi salah faham apabila menganggap kenyataannya itu satu cubaan untuk mencampuri urusan polis.

“Saya tidak berhasrat mencampuri urusan polis, tetapi percaya persepsi masyarakat terhadap pasukan itu sedang menurun disebabkan tindakan pasukan itu sendiri.

“Menteri Dalam Negeri perlu memahami isu ini bukan hanya beberapa penjenayah berat telah dibunuh dengan cara yang wajar. Isu ini juga berkaitan golongan muda India yang `hanyut’ dan membunuh mereka dengan cara melampaui batas ini tidak menyelesaikan masalah jenayah yang semakin meningkat di negara ini,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Waythamoorthy juga mendakwa beliau merupakan pemimpin kaum yang terpinggir di negara ini dan beliau tidak boleh hanya menjadi pemerhati dari luar hanya kerana berada dalam kerajaan.

Dakwanya, jawatan yang dipikulnya sepatutnya memberi kelebihan kepada kerajaan kerana beliau boleh menyuarakan sentimen sebenar rakyat.

Waythamoorthy baru-baru ini mempertikaikan tindakan polis menembak mati lima penjenayah dengan mempersoalkan kenapa polis tidak memberi amaran sebelum menyerbu pangsapuri di tempat kejadian.

Menteri Dalam Negeri kemudian menasihatkan Waythamoorthy supaya berhenti daripada menjawat jawatan dalam pentadbiran kerajaan sekiranya mahu memberi kenyataan berhubung perkara di luar bidang kuasanya.

Ahmad Zahid juga mengingatkan beliau supaya tidak mencampuri urusan polis tetapi menumpukan kepada bidang kuasa sendiri iaitu menguruskan hal-hal berkaitan Hindraf.

0 komentar:

Posting Komentar